Wednesday, 30 October 2013

Kertas 2
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan brikut dengan teliti kemudian  buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk memartabatkan batik Malaysia serta kekangan untuk melaksanakannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seni batik merupakan merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia.  Sejak dulu lagi, fungsi batik tidak pernah berubah sebagai busana kaum Hawa. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri telah berusaha menghidupkan seni batik ini semula dengan mengarahkan kakitangan awam memakai baju batik pada setiap hari Khamis. Arahan pemakaian batik selaras dengan usaha kerajaan menyokong usaha untuk mengembangkan industri batik di negara ini, sekali gus mempopularkan semula pakaian yang semakin dilupakan itu.  Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas  baru kepada perkembangan industri batik negara untuk terus berkembang maju.
            Industri batik kini semakin berkembang pesat dan generasi Malaysia telah mula mencintai batik. Golongan remaja juga sudah tidak berasa segan mengenakan batik dengan gaya kasual. Selain itu, batik juga telah mendapat penghargaan sebagai budaya seni yang begitu tinggi nilainya dan boleh dijadikan cenderamata kepada sesiapa sahaja sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kita harus berterima kasih kepada Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan serta melancarkan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Sejak dilancarkan, program tersebut telah mendapat sambutan hebat, walaupun pada mulanya hanya bertujuan untuk menimbulkan kesedaran orang ramai untuk mempertahankan seni batik. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Budi Penyayang Malaysia telah berusaha mengadakan Minggu Batik Malaysia  2005 bertujuan untuk berkongsi kegemilangan dan keistimewaan batik Malaysia bersama-sama masyarakat tempatan dan dunia.
            Buat julung-julung kalinya juga, Konvensyen  Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005  telah diadakan di negara ini.  Konvensyen tersebut telah  menampilkan 14 orang pembentang kertas kerja dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Indonesia, Jepun dan Australia  telah menyentuh pelbagai aspek perkembangan batik seperti sejarah batik, rekaan batik, pemasaran batik serta kejayaan industri itu.  Perdana Menteri juga telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi komitmen dalam menggerakkan industri batik negara. Komitmen kerajaan ini disebabkan industri batik berpotensi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara. Oleh itu, pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan  Perdagangan Luar Malaysia perlulah bekerja keras untuk mempromosikan batik  agar produk ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing.
            Bagi memastikan industri batik terus berkembang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah berusaha meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) merangkumi pelbagai aspek batik seperti penggunaan kain baru, penggunaan warna asli, ketahanan basuhan dan lain-lain.  Melalui Program Pembangunan Usahawan pula, latihan kemahiran tenaga kerja dilaksanakan  dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri batik ini. Di samping itu juga, teknologi baru seperti penggunaan mesin dan bantuan komputer untuk menghasilkan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan. Selain usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, para pengusaha batik tempatan juga perlu memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kemajuan industri batik di negara ini.  Mereka perlu lebih kreatif dalam menghasilkan batik yang lebih menarik dan lebih bermutu  bagi memastikan batik tempatan mampu bersaing dengan batik dari negara-negara lain. Mereka juga  perlulah bersedia untuk melabur untuk meningkatkan pasaran batik ke peringkat global.
            Secara tuntas, apa-apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan tradisi yang  wajar dipertahankan terutama yang membabitkan seni budaya tempatan seperti seni batik ini. Sudah tiba masanya seni batik Malaysia yang diusahakan secara turun-temurun, kembali berdaya maju seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini dan terus bertapak di hati generasi demi generasi sebagai khazanah bangsa yang dibanggakan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Memartabatkan Batik Malaysia oleh Haji Samat Buang,  Dewan Siswa, April 2006)

           


Soalan 2 : Pemahaman

 Soalan 2 (a) Petikan Umum  

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata warisan tradisi yang wajar dipertahankan.
                                                                                                                              [2 markah]           


(ii)        Nyatakan kesan langkah kerajaan mewajibkan kakitangan awam memakai baju  
            batik setiap Khamis.
[3 markah]



(iii)       Pada pendapat anda, selain  melalui industri batik, apakah bidang lain yang boleh diketengahkan untuk memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing?  
                                                                                                                              [4 markah]




3 comments: